Republik Itali (1946–kini) Sejarah_Itali

Rencana utama: Sejarah Republik Itali
Fail:Partisans in Milan.jpgPejuang Partisan berarak di Milan untuk meraikan pembebasan bandaraya tersebut pada tahun 1945.

Pada tahun 1946, putera Vittorio Emanuele III, Umberto II, dipaksa turun takhta.Itali menjadi sebuah republik hasil pungutan suara yang diadakan pada 2 Jun 1946, tarikh keramat yang kini diraikan sebagai Hari Republik. Ini juga kali pertama kaum wanita Itali diberi hak mengundi.[21] Perlembagaan Republik diluluskan dan berkuatkuasa pada 1 Januari 1948. Mengikut Perjanjian Damai Paris pada tahun 1947, sempadan timur diserahkan kepada Yugoslavia; kemudian, republik bebas Trieste dibahagikan antara kedua-dua negara berkenaan.

Kebimbangan para pengundi Itali akan rampasan kuasa Komunis terbukti penting buat keputusan pilihan raya hak mengundi sejagat sepenuhnya yang pertama pada 18 April 1948, apabila parti Demokrat Kristian pimpinan Alcide De Gasperi memenangi pilihan raya itu dengan 48% undian. Pada 1950-an, Itali menganggotai NATO dan bersekutu dengan Amerika Syarikat. Rancangan Marshall membantu memulihkan ekonomi Itali supaya menikmati “Keajaiban Ekonomi” yang pesat membangun hingga 1960-an. Pada tahun 1957, Itali merupakan anggota pengasas Komuniti Ekonomi Eropah (EEC), yang menjadi Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 1993.

Sejak akhir 1960-an hingga akhir 1980-an, negara ini mengharungi krisis ekonomi yang teruk dan “Zaman Timah Hitam” yang disifatkan oleh konflik sosial yang berleluasa dan kegiatan pengganas yang dijalankan oleh gerakan luar parlimen. Zaman Timah Hitam memuncak dengan pembunuhan ketua parti Demokrasi Kristian, Aldo Moro pada tahun 1978, maka berakhirnya “Kata Sepakat Bersejarah” antara parti Demokrasi Kristian dan Parti Komunis Itali. Pada 1980-an, buat kali pertama sejak tahun 1945, Itali dipimpin oleh perdana menteri bukan Demokrasi Kristian, iaitu seorang republikan (Giovanni Spadolini) dan seorang sosialis (Bettino Craxi); namun begitu, parti Demokrasi Kristian kekal sebagai kuasa utama yang menyokong kerajaan. Parti Sosialis Itali (PSI) pimpinan Bettino Craxi makin hari makin memandang serong Komunis dan Kesatuan Soviet, sehingga beliau menyokong tindakan Presiden AS, Ronald Reagan meletakkan misil Pershing di Itali yang ditentang hebat oleh Parti Komunis.

Fail:Rometreaty.jpgUpacara menandatangani Perjanjian Rom.

Pada tahun 1992 hingga 1994, Itali berdepan dengan cabaran getir kerana para pengundi yang kecewa dengan kelumpuhan politik masa lalu, hutang kerajaan keliling pinggang dan gejala korupsi yang berleluasa yang bergelar Tangentopoli setelah didedahkan oleh siasatan ‘Tangan Bersih’), maka mereka menuntut pembaharuan politik, ekonomi dan etika. Skandal-skandal ini melibatkan semua parti besar, khususnya parti campuran pemerintah: pada tahun 1992 hingga 1994,Demokrat Kristian mengalami krisis yang parah lalu terpaksa dibubarkan dan berpecah kepada beberapa parti kecil, begitu juga dengan Parti Sosialis Itali dan parti-parti kecil yang menyertai campuran itu. Parti Komunis disusun semula sebagai sebuah parti demokrasi sosial.

Pilihan raya 1994 menjulang Silvio Berlusconi sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun, beliau terpaksa mengundurkan diri pada Disember tahun itu apabila Parti Lega Nord menarik balik sokongannya. Pada April 1996, pilihan raya kebangsaan berpihak kepada parti campuran berhaluan kiri-tengah pimpinan Romano Prodi. Kerajaan pertama Prodi adalah yang ketiga paling lama berkuasa sebelum beliau kalah dalam undian percaya pada Oktober 1998. Kerajaan baru dibentuk oleh Massimo D'Alema, tetapi beliau meletak jawatan pada April 2000.

Pada tahun 2001, pilihan raya kebangsaan memihak kepada parti campuran berhaluan kanan-tengah pimpinan Silvio Berlusconi yang kembali menyandang jawatan Perdana Menteri. Berlusconi dapat mempertahankan kuasanya sepanjang mandat lima tahun selengkapnya, tetapi dengan dua tempoh pemerintahan yang berasingan. Yang pertama (2001–2005) merupakan kerajaan yang paling lama bertahan di Itali pasca-perang. Di bawah kepimpinan itu, Itali menyertai pakatan tentera yanf diketuai oleh AS di Iraq. Pilihan raya 2006 dimenangi oleh haluan kiri tengah dan membuka laluan Prodi untuk membentuk kerajaan kedua, tetapi pada awal tahun 2008, Prodi meletak jawatan setelah kalah dalam undian percaya di Parlimen. Berlusconi memenangi pilihan raya April 2008 untuk membentuk kerajaan buat kali ketiga.